Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENGISLAMAN BAGI SEORANG PEREMPUAN BANGSA FILIPINA DAYANG HELEN YURAG LUMBAB

05 November 2026

MAJLIS PENGISLAMAN BAGI SEORANG PEREMPUAN BANGSA FILIPINA DAYANG HELEN YURAG LUMBAB

​

Katimahar, Khamis, 25 Jamadilawal 1448 bersamaan 05 November 2026-Sejak awal Januari hingga 22 Oktober 2026, seramai 217 orang telah memeluk agama Islam di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, seramai 113 orang merupakan saudara baharu di Daerah Brunei dan Muara.

Sehubungan dengan itu, seorang wanita berbangsa Filipina, Dayang Helen Yurag Lumbab, telah memilih agama Islam sebagai pegangan hidup dengan melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam Majlis Pengislaman yang diadakan pada petang tadi di kediaman Awang Mohd. Nor Faidzal bin Haji Zainuddin, di Kampung Katimahar, Daerah Brunei dan Muara.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abdul Salam, Ahli Majlis Mesyuarat Negara.

Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Haji Hairulizam @ Khairulizam bin Haji Jefrey, Penghulu Mukim Kiudang, serta Yang Mulia Awang Abdul Hadi bin Haji Abdul Sani, Ketua Kampung Katimahar dan Kampung Lugu.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan lafaz Dua Kalimah Syahadah oleh Dayang Helen Yurag Lumbab di hadapan pegawai dari Bahagian Pengembangan Da'wah (Pengislaman), Pusat Da'wah Islamiah. Setelah memeluk agama Islam, beliau memilih nama Islam Dayang Fatima Az Zahra binti Abdullah.

Majlis seterusnya diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada saudara baharu, diikuti dengan Dikir Marhaban dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

 

Foto: PDI​