Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

PROGRAM ILAL MAJDI WAL ‘ULA SEKOLAH ARAB TEMBURONG TAHUN 1448H / 2026M

10 November 2026

PROGRAM ILAL MAJDI WAL ‘ULA SEKOLAH ARAB TEMBURONG TAHUN 1448H / 2026M

​

Temburong, Selasa, 30 Jamadilawal 1448 bersamaan 10 November 2026–Ke arah menyokong Matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama terus memperkukuh pelbagai inisiatif berstrategik bagi membudayakan kecemerlangan akademik serta mengembangkan potensi pelajar secara menyeluruh.

Sehubungan itu, Sekolah Arab Temburong pagi tadi mengungkayahkan Program Ilal Majdi Wal 'Ula (Ke Arah Ketinggian dan Kemuliaan) bertemakan “PSR SIUK: Journey Beyond Borders" yang diadakan di sekolah berkenaan.

Program tersebut melibatkan seramai 35 orang pelajar Sanah 6 daripada lima buah sekolah Arab, iaitu Sekolah Arab Temburong, Sekolah Arab Belait, Ma'had Islam Brunei, Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit.

Hadir selaku Tetamu Khas ialah Yang Mulia Awang Haji Johar bin Haji Jumat, Ketua Bahagian Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Acara dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Serikartini binti Haji Omar, Guru Besar Sekolah Arab Temburong. Seterusnya acara diteruskan dengan pelancaran program, diikuti pertandingan berkonsepkan pengembaraan dan kuiz interaktif, sebelum diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Program Ilal Majdi Wal 'Ula bertujuan untuk meningkatkan penguasaan pelajar terhadap isi pelajaran serta mempelbagaikan kaedah pembelajaran melalui pendekatan yang lebih interaktif dan menyeronokkan. Selain menggalakkan pelajar berfikir secara kritis, kreatif dan spontan, program ini turut memupuk semangat kerjasama serta persaingan sihat dalam kalangan pelajar, di samping memperkukuh keyakinan diri dan kemahiran menyelesaikan masalah.

 

Foto: JPI​