Negara Brunei Darussalam, Hari Sabtu, 12 Jamadilakhir 1448 bersamaan 21 November 2026–Ilmu merupakan cahaya yang menerangi kehidupan manusia dan mengangkat darjat seseorang di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Namun, menuntut ilmu memerlukan kesungguhan, ketekunan dan kesabaran yang berterusan kerana ilmu tidak akan dapat diraih dengan tubuh yang bersantai-santai. Dalam perjalanan menuntut ilmu, terdapat tiga bentuk kesabaran yang perlu disemai, iaitu sabar dalam proses memahami dan mengingati apabila berdepan kesukaran memahami atau menghafal pelajaran, sabar terhadap masa dan keletihan kerana ilmu diperoleh secara berperingkat dan memerlukan pengorbanan waktu, tenaga serta keselesaan, dan sabar dalam menghormati guru serta menjaga adab bermajlis kerana keberkatan ilmu sangat berkait rapat dengan adab terhadap guru dan proses pembelajaran. Kesabaran dalam menghadapi kepayahan menuntut ilmu akan membawa kepada kemanisan kejayaan, manakala ketidakmampuan menahan pahitnya menuntut ilmu akan menyebabkan seseorang terus berada dalam kejahilan. Oleh itu, kesabaran dan istiqamah dalam menuntut ilmu merupakan kunci untuk memperoleh ilmu yang bermanfaat serta ganjaran pahala di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Demikian antara inti pati Tazkirah bertajuk Bersabar di dalam Menuntut Ilmu yang disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Shahwardy bin Haji Hamdan, Pegawai Kesejahteraan Penuntut Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir bagi menyerikan Malam Munajat Anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama Kali Ke-256 bersama Pelajar-Pelajar dari Kaherah, Republik Arab Mesir pada malam tadi.
Menyemarakkan Program Malam Munajat minggu ini ialah tenaga akademik dan para penuntut Brunei Darussalam dari Republik Arab Mesir; serta beberapa buah masjid dan surau di seluruh negara. Turut menyertai, warga kerja Kementerian Hal Ehwal Ugama dan individu yang mengikuti program ini secara maya dari kediaman masing-masing.
Atur cara Munajat malam tadi dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Tuan Yang Terutama Pengiran Md Salimin bin Pengiran Md Daud, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Arab Mesir yang bersiaran dari Surau Darussalam, Bangunan Kediaman Penuntut Brunei Darussalam di Kaherah, Republik Arab Mesir.
Diikuti dengan bacaan Surah Al-Mulk beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Hassanul Jamsyir Ali bin Jais, Pelajar Tahun 1, Maa'had Qira'at Shoubra, Republik Arab Mesir. Seterusnya, Doa Munajat dibacakan oleh Yang Mulia Awang Md Adyzham bin Salleh, Ataci Pelajaran dan Kebudayaan Negara Brunei Darussalam di Republik Arab Mesir.
Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Memohon Dikurniakan Hujan Sebab Dilanda Jerebu oleh Yang Mulia Awang Ahmad Huzaifah bin Awang Haji Hasbi, Pelajar Tahun 1, Maa'had Qira'at Shoubra, Republik Arab Mesir.
Sejurus selesai Tazkirah, acara disusuli dengan bacaan Asma Al Husna beramai-ramai dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhamad Faiz Najwan bin Muhamad Saleh, Pelajar Tahun 1, Maa'had Qira'at Shoubra, Republik Arab Mesir. Kemudiannya, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Mulia Awang Mohammad Wa'ie Al Matin @ Mohammad Al Matin bin Norzalfri, Pelajar Tahun 1, Kuliah Syariah Wa Qonun, Syukbah Syariah Islamiyyah, Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir.
Program Malam Munajat bertujuan mengajak masyarakat Islam mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala melalui amalan kerohanian, memohon keampunan, membaca dan menghayati ayat-ayat suci Al-Quran, serta merafakkan dan mengaminkan doa secara beramai-ramai dengan penuh pengharapan agar Negara Brunei Darussalam beserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada sebarang musibah dan penyakit berjangkit. Semoga segala amalan kerohanian dan doa munajat yang kita panjatkan serta aminkan diterima dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala.
Orang ramai dialu-alukan untuk ikut serta dalam acara Malam Munajat yang diadakan secara maya melalui pautan berikut: http://tiny.cc/munajatkheu.
