Palangka Raya, Isnin, 13 Jamadilakhir 1448 bersamaan 23 November 2026–Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama selaku Wakil Menteri Hal Ehwal Ugama, telah menghadiri Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) XVII Tahun 2026 sebagai Tetamu Kehormat atas jemputan Rektor Universitas Islam Negeri (UIN) Palangka Raya. Konferensi bertemakan “Transformasi Peradaban dan Kelestarian Ummah dalam Era Teknologi dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence)" ini berlangsung pada 22 hingga 24 November 2026 di Palangka Raya, Kalimantan Tengah, Republik Indonesia.
Konferensi Antarabangsa Islam Borneo (KAIB) XVII Tahun 2026 dirasmikan pada pagi tadi oleh Yang Terhormat H. Edy Pratowo, S.Sos., M.M., Wakil Gubernur Kalimantan Tengah, dengan simbolik pemukulan gong. Sejurus itu, Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar menyampaikan Ucap Tama bagi pihak Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama.
Dalam Ucap Tama tersebut, beliau menegaskan bahawa persoalan utama bukanlah sama ada AI perlu diterima atau ditolak, tetapi bagaimana ia dimanfaatkan secara bijaksana dan selaras dengan prinsip Islam serta Maqasid al-Syariah. Beliau turut mengetengahkan cabaran seperti penyebaran maklumat palsu, keselamatan data dan jurang digital, serta pendekatan Negara Brunei Darussalam yang berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB), Wawasan Brunei 2035 dan Digital Brunei 2030. Menurut beliau, kelestarian ummah tidak diukur dengan penguasaan teknologi semata-mata, tetapi sejauh mana teknologi membentuk manusia yang berilmu, beriman, berakhlak dan bertanggungjawab.
Hadir sama ialah delegasi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang diketuai oleh Yang Mulia Awang Haji Md Syahiran bin Haji Md Sofian, Penolong Ra'es III (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) selaku Pembentang Ucap Perdana, bersama Yang Mulia Dr. Awang Haji Noralizam bin Haji Aliakbar dan Yang Mulia Dr. Awang Haji Matussein bin Haji Jumat selaku Pembentang Kertas Kerja; serta delegasi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Jabatan Mufti Kerajaan.
KAIB XVII dianjurkan dengan kerjasama sebelas (11) Institusi Pengajian Tinggi dari Negara Brunei Darussalam, Malaysia dan Indonesia, dan bertujuan menghimpunkan karya ilmiah serta menyediakan wadah diskusi mengenai dakwah Islamiyyah dan isu-isu Islam di Borneo. Kehadiran Yang Mulia Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama mencerminkan komitmen Negara Brunei Darussalam untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang keilmuan dan hal ehwal Islam.



