Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Pengumuman
Powered By Tech One Solutions - Brunei

MAJLIS PENUTUP MUZAKARAH HAJI KALI KE-34 TAHUN 1448H/2026M

25 November 2026

MAJLIS PENUTUP MUZAKARAH HAJI KALI KE-34 TAHUN 1448H/2026M

​

Berakas, Rabu, 15 Jamadilakhir 1448 bersamaan 25 November 2026-Bagi menyebarluaskan, menambah dan seterusnya memperkukuh ilmu manasik haji, khususnya dalam memahami falsafah dan menghayati ibadat haji, serta memperjelas isu-isu hukum yang timbul semasa pelaksanaan manasik haji dan umrah pada musim haji yang lalu, Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Bimbingan Haji dan Umrah telah mengadakan Muzakarah Haji Kali Ke-34 Tahun 1448H/2026M, bertempat di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Darul Itqan, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Sehubungan itu, Majlis Penutup Muzakarah Haji Kali Ke-34 Tahun 1448H/2026M diadakan pada petang tadi, bertempat di dewan yang sama.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang seterusnya menyampaikan ucapan dan menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta Muzakarah Haji Kali Ke-34 Tahun 1448H/2026M.

Turut hadir ialah Yang Mulia Awang Haji Shamshol bin Haji Omar, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta pengarah-pengarah dan pengurus-pengurus syarikat pengendali perkhidmatan haji dan umrah.

Pada majlis berkenaan, turut diadakan pembentangan Kertas Kerja Perdana bertajuk Haji Di Era Digital: Bijak Mencari Maklumat, Tepat Merujuk Ilmu yang disampaikan oleh Yang Mulia Dr. Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Abd. Muluk, Pengarah Pusat Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Terdahulu, pada sesi sebelah pagi, seramai 128 orang peserta telah menghadiri Muzakarah Haji Kali Ke-34 yang terdiri daripada guru-guru pengkursus ibadat haji dan umrah; tenaga pengajar dari Jabatan Pengajian Islam,  Kementerian Hal Ehwal Ugama; tenaga pembimbing saudara-saudara baharu (Muallaf) dan daie-daie dari Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama; pegawai-pegawai dan imam-imam dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama; mahasiswa dan mahasiswi Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) serta Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB); penuntut-penuntut Sekolah Tinggi Arab Hassanal Bolkiah; para peserta Program Sijil Profesional Pembimbing Haji dan Umrah (SP-PHU); serta pembimbing ugama daripada syarikat pengendali perkhidmatan Pakej Haji dan Umrah.

Sepanjang muzakarah tersebut, para peserta turut mengikuti pembentangan kertas-kertas kerja yang disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri, yang mengupas secara terperinci isu hukum-hakam berkaitan manasik haji. Pembentangan berkenaan bertujuan memberikan penjelasan serta memperkukuh kefahaman para peserta terhadap permasalahan hukum yang berkaitan dengan pelaksanaan ibadat haji dan umrah.

Selain itu, muzakarah berkenaan turut memberikan pendedahan mengenai situasi dan perkembangan semasa di Tanah Suci, khususnya di Arafah dan Mina, termasuk kemudahan-kemudahan yang disediakan, jangkaan serta keperluan bakal jemaah haji ketika berada di Tanah Suci, dan dasar serta peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Muzakarah tersebut juga bertujuan memperjelas pengurusan haji Negara Brunei Darussalam, termasuk kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan bagi memastikan kebajikan, keselamatan dan keselesaan jemaah haji sepanjang menunaikan ibadat di Tanah Suci.

 

Foto: BPAAM​