Katok, Rabu, 15 Jamadilakhir 1448 bersamaan 25 November 2026–Gejala buli dalam kalangan murid merupakan isu yang perlu diberikan perhatian serius kerana boleh menjejaskan keselamatan, kesejahteraan dan keharmonian persekitaran persekolahan. Perlakuan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada mangsa, malah turut menjejaskan hubungan sesama murid serta suasana pembelajaran di sekolah.
Dalam perspektif Islam, perbuatan buli bertentangan dengan ajaran agama yang menekankan nilai-nilai akhlak mulia, kasih sayang dan hormat-menghormati sesama insan. Justeru, penerapan nilai-nilai Islam serta usaha pencegahan dan intervensi perlu diperkukuh bagi membentuk persekitaran persekolahan yang selamat, harmoni dan bebas daripada gejala buli.
Sehubungan itu, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menganjurkan Program Pencegahan Buli Perspektif Islam bagi Persekolahan Arab dan Ugama melalui Forum Kesedaran, Pencegahan dan Intervensi Buli dalam Pendidikan Ugama yang disertai oleh pemimpin-pemimpin sekolah di bawah jabatan berkenaan. Forum tersebut diadakan di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Katok, dengan penyertaan secara bersemuka dan secara maya.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Haslinah Susanti binti Haji Mohd Hassan, Penolong Pengarah (Perkhidmatan Korporat), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Penganjuran program tersebut merupakan wadah perkongsian ilmu dan maklumat bagi meningkatkan kesedaran serta memperkukuh kefahaman pemimpin-pemimpin sekolah mengenai isu buli, termasuk mengenal pasti tanda-tanda awal, mengambil tindakan yang bersesuaian serta melaksanakan langkah pencegahan dan intervensi di peringkat sekolah.
Forum berkenaan dibahagikan kepada tiga sesi perbincangan dengan penglibatan seramai 12 orang ahli panel, iaitu empat orang bagi setiap sesi, yang terdiri daripada pegawai Unit Perkhidmatan Kaunseling serta tenaga pengajar dari persekolahan Arab dan Ugama. Forum dikendalikan oleh Yang Mulia Mejar (B) Haji Rusli bin Bujang, Pengasas Empowerior Sdn. Bhd., selaku moderator dan diakhiri dengan sesi soal jawab bersama para peserta.
Program berkenaan dikendalikan bersama oleh Unit Perkhidmatan Kaunseling, Bahagian Pentadbiran dan Unit Latihan Jangka Pendek, Bahagian Pembangunan Sumber Tenaga Manusia dan Biasiswa, Jabatan Pengajian Islam.
Foto: JPI