Katok, Khamis, 16 Jamadilakhir 1448 bersamaan 26 November 2026–Selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 untuk melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, kehadiran pelajar secara konsisten merupakan antara aspek penting dalam meningkatkan kualiti pendidikan. Kehadiran yang baik bukan sahaja memastikan kelancaran proses pengajaran dan pembelajaran, malah turut menyumbang kepada peningkatan pencapaian akademik serta pembentukan disiplin dan rasa tanggungjawab dalam kalangan pelajar.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah melancarkan Sistem Pemantauan Kehadiran Pelajar (SPKP 2.0) sebagai satu inisiatif untuk memperkukuh pengurusan dan pemantauan kehadiran pelajar di sekolah-sekolah Arab dan ugama.
Majlis pelancaran sistem berkenaan diadakan pada pagi tadi di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok, dan dihadiri oleh guru-guru besar sekolah ugama seluruh negara.
Hadir selaku Tetamu Khas Majlis ialah Yang Mulia Dayang Hajah Mariana binti Haji Jamil, Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama yang terlebih dahulu menyampaikan ucapan sebelum menyempurnakan pelancaran sistem berkenaan. Majlis turut diselajurkan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada sekolah-sekolah yang mencatatkan prestasi kehadiran terbaik.
Acara kemudiannya diteruskan dengan sesi taklimat mengenai Program Kemasukan Murid Darjah IV Persekolahan Ugama SIUK yang disampaikan oleh dua orang pegawai dari Bahagian Sekolah Ugama, Jabatan Pengajian Islam, iaitu Yang Mulia Dayang Norliyani binti Haji Ahmad, Ketua Unit Maklumat, Perangkaan dan Hal Ehwal Pelajar serta Yang Mulia Dayang Sunarty binti Ahmad, Ketua Unit Akademik dan Peperiksaan.
Taklimat berkenaan antara lain memberikan penerangan mengenai tema program SIUK, iaitu “Sekolahku Ilmuku, Ugamaku Keberkatanku", di samping menjelaskan persiapan dan pelaksanaan program tersebut kepada para pemimpin sekolah sebagai persediaan menyambut kemasukan murid baharu ke Darjah IV Persekolahan Ugama pada tahun 2027.
Foto: JPI